Monday, October 12, 2026

    SELAYANG: Kisah khidmat dan keprihatinan seorang wakil rakyat tidak semestinya terhenti apabila tempoh perkhidmatannya berakhir. Bagi Puan Norasiah Othman, 65, jasa yang pernah diterimanya daripada Tuan Haji Zaidy Abdul Talib , YDP PAS Selayang ketika beliau menjadi wakil rakyat masih terpahat dalam ingatan sehingga hari ini.

    Pertemuan semula itu berlaku ketika Tuan Haji Zaidy bersama Penasihat Ameerah Selayang, Puan Amalina AF, menziarahi Puan Norasiah di kediamannya di Apartment Nuri, Bukit Idaman, baru-baru ini.

    “Sampai mati saya akan ingat jasa YB Zaidy,” ujar Puan Norasiah dengan penuh rasa terharu ketika mengenang kembali bantuan yang pernah diterimanya.

    Puan Norasiah kini berdepan pelbagai cabaran kesihatan termasuk penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan asma. Beliau perlu mendapatkan rawatan secara berkala di Hospital Selayang, manakala pemeriksaan jantung pula memerlukan beliau ke Hospital Serdang.

    Dalam keadaan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan, beliau banyak bergantung kepada keprihatinan jiran-jiran yang membantu menghantar serta menemani beliau mendapatkan rawatan.

    Lebih mencabar, Puan Norasiah kini bergantung kepada pencen PERKESO arwah suaminya, selain memikul tanggungjawab menjaga empat orang cucu selepas bapa kepada anak-anak berkenaan meninggal dunia akibat penyakit jantung kira-kira empat tahun lalu.

    Ibu kepada cucu-cucunya pula bekerja dan kadangkala perlu bertugas di luar kawasan selama beberapa hari, menyebabkan Puan Norasiah menjadi tempat bergantung untuk menguruskan keperluan cucu-cucunya.

    Namun, di sebalik cabaran yang dihadapi, beliau masih menyimpan kenangan manis hasil usaha dan bantuan yang pernah diterimanya ketika Tuan Haji Zaidy memegang amanah sebagai EXCO dan wakil rakyat.

    Pada tahun 2018, Puan Norasiah pernah menerima bantuan sebuah peti sejuk beku melalui Program Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, Daerah Gombak, bagi membantu mengembangkan perniagaan aiskrim yang diusahakannya.

    Tuan Haji Zaidy sendiri pernah turun padang dalam satu perjumpaan bagi menyampaikan bantuan berkenaan.

    Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Puan Norasiah menerima Anugerah Pengeluaran Produk Tertinggi Daerah Gombak pada tahun 2022 di bawah Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

    Menariknya, selepas bertahun-tahun berlalu, segala kenangan tersebut masih tersimpan rapi.

    Puan Norasiah menunjukkan satu persatu pingat, replika cek dan sijil anugerah yang diterimanya, seolah-olah kejayaan tersebut baru sahaja berlaku.

    Bagi Tuan Haji Zaidy, perkara itu menjadi satu peringatan bahawa sesuatu bantuan yang mungkin kelihatan kecil pada suatu ketika dahulu boleh membawa makna yang sangat besar dalam kehidupan seseorang.

    “Kadang-kadang bantuan yang kita anggap kecil pada suatu ketika dahulu, rupanya menjadi kenangan besar dalam kehidupan seseorang,” katanya.

    Puan Norasiah turut meluahkan rasa terkilan apabila PAS tidak berjaya mempertahankan kerusi DUN Templer pada pilihan raya yang lalu.

    Beliau masih mengingati usaha dan khidmat yang pernah diterimanya serta menyatakan kesediaan untuk terus membantu sekiranya Tuan Haji Zaidy dan pasukannya kembali turun berkhidmat di kawasan DUN Templer atau Parlimen Selayang.

    Bagi Tuan Haji Zaidy, kata-kata tersebut bukan semata-mata soal sokongan politik, sebaliknya merupakan penghargaan daripada seorang rakyat yang masih mengingati kebaikan dan khidmat yang pernah diterimanya.

    Pertemuan itu turut memperlihatkan bahawa hubungan antara seorang wakil rakyat dengan masyarakat tidak seharusnya terhenti selepas berakhirnya sesuatu tempoh perkhidmatan.

    Sebaliknya, ia boleh terus dipelihara melalui silaturahim dan keprihatinan terhadap nasib masyarakat.

    “Ziarah bukan sekadar datang bertanya khabar. Ziarah mengajar kita bahawa manusia mungkin lupa apa yang kita katakan, tetapi mereka jarang lupa bagaimana kita pernah membantu dan hadir ketika mereka memerlukan.”

    Tuan Haji Zaidy berharap agar Allah SWT memberikan kesihatan, kekuatan dan kemudahan kepada Puan Norasiah serta cucu-cucunya dalam menghadapi kehidupan.

    Khidmat diteruskan, silaturahim dipelihara.