Monday, October 12, 2026

    SELAYANG, 16 September 2026 – Sambutan Hari Malaysia di Selayang berlangsung penuh meriah apabila lebih 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Hari Malaysia Mega Fun Run Selayang 2026 yang berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, pagi tadi.

    Seawal jam 6.00 pagi, kawasan sekitar Dataran Ilmu mula dipenuhi para peserta yang hadir dengan penuh semangat bagi menyertai larian sempena Hari Malaysia. Suasana pagi turut dihangatkan dengan aktiviti pemanasan badan dan senamrobik yang dipimpin oleh Saudara Bro Kamal bersama Tuan Nor Jafni Noor Kamaruzaman, mewakili Dewan Pemuda PAS Kawasan Selayang selaku penganjur bersama program.

    Turut memeriahkan program ialah Puan Nor Amalina Ahmad Foad, Penasihat Ameerah Selayang yang turut dikenali sebagai Ikon Anak Muda Selayang, bersama para jemputan dan tetamu yang hadir memberikan sokongan kepada penganjuran acara.

    Program kemudiannya menerima kehadiran tetamu istimewa, Tuan Zaidy Abdul Talib, Yang Dipertua PAS Selayang, yang hadir sebagai perasmi program sebelum menyempurnakan pelepasan larian para peserta.

    Dengan penyertaan yang mencecah lebih 1,000 orang, laluan larian dipenuhi peserta daripada pelbagai peringkat umur, menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini lebih bermakna dalam suasana riadah, kekeluargaan dan kebersamaan komuniti.

    Kelancaran perjalanan larian turut mendapat kerjasama baik daripada pihak polis trafik yang bertugas mengawal serta menjaga laluan peserta sepanjang acara berlangsung. Kerjasama tersebut memastikan perjalanan larian dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar.

    Namun, kemeriahan program tidak berakhir selepas para peserta menamatkan larian. Sebaliknya, mereka terus memenuhi kawasan program bagi menantikan acara cabutan bertuah yang menjadi antara detik paling dinanti-nantikan.

    Lebih 20 hadiah cabutan bertuah berjaya diserahkan kepada para pemenang. Menariknya, tiada peserta yang pulang lebih awal, sebaliknya rata-rata terus menanti sehingga sesi cabutan bertuah selesai, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan suasana program.

    Semua peserta turut menerima sijil penyertaan, medal serta seragam rasmi program sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan atas penyertaan mereka dalam acara tersebut.

    Program yang bermula sejak awal pagi itu akhirnya melabuhkan tirai sekitar jam 10.30 pagi dalam suasana yang meriah dan penuh semangat kebersamaan.

    Mengulas kejayaan penganjuran program, Pengarah Program, Tuan Mohd Najid bin Shafee, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh peserta serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap segala masa, tenaga, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh semua pihak, selain berharap agar setiap usaha tersebut mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT.

    “Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan ini mendapat balasan yang baik daripada Allah SWT serta menjadi asbab kepada terbinanya kehidupan masyarakat Selayang yang lebih harmoni, sihat dan bersatu,” katanya.

    Hari Malaysia Mega Fun Run Selayang 2026 bukan sekadar sebuah acara larian, malah menjadi wadah untuk masyarakat berkumpul, beriadah dan mengeratkan hubungan sesama komuniti dalam suasana yang sihat, positif dan penuh kemeriahan.

    Tahniah dan syabas kepada seluruh urusetia, sukarelawan, penganjur bersama, pihak keselamatan serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Tidak dilupakan, penghargaan khusus buat seluruh peserta yang hadir seawal pagi dan kekal bersama sehingga program melabuhkan tirai.

    Saksikam momen-momen menarik Mega Fun Run Selayang 2026 di album FB PEMUDA SELAYANG

    Satu larian, seribu kenangan — bersama membina Selayang yang lebih sihat, harmoni dan bersatu.