RAWANG, 13 September 2026 – Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Tuan Haji Zaidy Abdul Talib, hari ini merasmikan Alam Ria PASTI Kawasan Selayang yang berlangsung di SRA Al-Hidayah, Taman Tun Teja, Rawang.
Program tersebut berlangsung meriah dengan penyertaan anak-anak PASTI dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan, sekali gus menjadi medan untuk mereka mencungkil bakat, menguji kebolehan serta membina keyakinan diri.
Gelagat anak-anak PASTI yang tampil menyertai pertandingan turut menceriakan suasana program. Ada yang berani dan yakin ke hadapan, ada yang masih malu-malu, manakala sebahagian yang lain begitu bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.
Alam Ria bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi ruang pendidikan tidak formal yang memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar mencuba, berkomunikasi, bekerjasama serta membina keberanian sejak usia muda.
Penganjuran program seumpama ini turut mencerminkan komitmen PASTI dalam membentuk generasi yang seimbang dari aspek ilmu, sahsiah dan keyakinan diri.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Zaidy Abdul Talib menzahirkan penghargaan kepada para guru, ibu bapa dan seluruh jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.
Beliau turut berharap agar usaha berterusan dalam mendidik dan membimbing anak-anak dapat melahirkan generasi yang soleh, berilmu, berakhlak serta berani tampil ke hadapan.
Alam Ria PASTI Kawasan Selayang diharap terus menjadi platform yang memberi pengalaman positif kepada anak-anak, di samping mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
#BaktiDemiSelangor #Selayang #ZAT #PASTI




FOTO : Haji Zaidy Abdul Talib bersama para peserta yang memperolehi kejayaan dalam program ini

