RAWANG, 10 September 2026 – SELAYANG – Manusia tidak sempurna, dan dalam perjalanan kehidupan, setiap insan pasti memerlukan kekuatan. Namun, antara kekuatan terbesar yang dikurniakan Allah kepada seorang manusia ialah seorang sahabat yang hadir ketika senang mahupun susah.
Alhamdulillah, hari ini Ketua Pemuda PAS Kawasan Selayang, Sdr. Nor Jafni Noor Kamaruzaman, berkesempatan menunaikan hak sebagai seorang Muslim, khususnya terhadap sahabat seakidah dan seperjuangan, dengan menziarahi dua orang Exco Pemuda PAS Kawasan Selayang, iaitu Sdr. Najid Shafee, NKP Selayang, dan Sdr. Amzar Mohamad, Ketua ARC Selayang, yang sedang menerima rawatan di KPJ Rawang.
Ziarah ini bukan sekadar kunjungan, tetapi sebagai tanda ingatan, kebersamaan dan sokongan kepada sahabat yang sedang diuji dengan kesakitan. Dalam perjuangan, ukhuwwah tidak hanya dibina ketika bersama dalam program dan gerak kerja, bahkan turut dibuktikan dengan kehadiran ketika seorang sahabat memerlukan.
Beriman dengan sabdaan Nabi SAW:
مَنْ عَادَ مَرِيضًا ، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ : طِبْتَ ، وَطَابَ مَمْشَاكَ ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru yang menyeru dari langit: Kamu adalah orang baik, dan langkahmu juga baik dan engkau berhak mendapat satu tempat di syurga.”
Sesungguhnya, sakit adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah SWT. Dalam keadaan sebegini, sokongan dan doa daripada sahabat serta keluarga menjadi satu bentuk kekuatan yang amat bermakna.
Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan yang segera dan kesihatan yang baik kepada Sdr. Najid Shafee dan Sdr. Amzar Mohamad, dipermudahkan segala urusan rawatan serta diberikan kekuatan untuk kembali meneruskan perjuangan.
Semoga Allah terus memelihara ukhuwwah sesama kita, menguatkan langkah dalam perjuangan dan memelihara kita semua daripada segala ujian kesakitan.
Sahabat bukan sekadar hadir ketika kita mampu berdiri, tetapi mereka juga hadir untuk menguatkan kita ketika langkah sedang diuji.

