RAWANG, 23 Ogos 2026 – Majlis Apresiasi Suri Hafizah anjuran PERKAWANIS dan JAIS berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna di Dewan Masjid Al-Falah, Rawang, sebagai tanda penghargaan kepada para wanita yang menjadikan al-Quran sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

Program yang dirasmikan oleh al Fadhil Ust Mohd Zulfeikry mewakili JAIS, telah mengangkat tema #QuranDiHati menghimpunkan 100 para peserta dan penghafaz al-Quran dalam sebuah majlis yang sarat dengan pengisian kerohanian, penghargaan serta kebersamaan.

Antara pengisian menarik ialah tayangan montaj PERKAWANIS, slot Hafazan Suri Hafizah, persembahan Marhaban & Refleksi Hati, selain majlis perasmian penutup yang turut diserikan dengan ucapan serta penyampaian sijil kepada tenaga pengajar, peserta dan penghafaz.

Majlis turut menampilkan Amalina AF sebagai pengacara majlis, yang mengendalikan keseluruhan acara dengan baik dan menceriakan suasana program melalui pengacaraan yang bersahaja, tersusun serta dekat dengan para hadirin.

Salah satu mesej Amalina AF yang mencuri perhatian dalam pengisian program ialah kisah Saidatina Fatimah RA yang pernah berdepan kepenatan dalam menguruskan kehidupan sehingga meminta seorang pembantu daripada Rasulullah SAW.

Kisah tersebut mengingatkan para wanita bahawa penat bukan tanda kelemahan, sebaliknya sebahagian daripada perjalanan memikul amanah. Dalam menghadapi tuntutan kehidupan, wanita bukan sahaja memerlukan rehat untuk tubuh, tetapi juga kekuatan rohani untuk terus melangkah.

Ia menjadi satu pesanan yang cukup dekat dengan kehidupan wanita hari ini bahawa ketika tenaga semakin berkurang, hubungan dengan Allah perlu terus diperkukuhkan sebagai sumber kekuatan jiwa.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat serta sesi bergambar dan bersurai, menutup program dalam suasana penuh ukhuwah dan penghargaan.

Majlis Apresiasi Suri Hafizah PERKAWANIS diharapkan dapat terus menjadi ruang untuk menghargai usaha para wanita dalam mendekatkan diri dengan al-Quran, di samping menyemarakkan budaya hafazan dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.