SENTUL – Kejohanan Bola Jaring Wanita Muda Selayang yang berlangsung di SLK Batu Muda berlangsung meriah dengan penyertaan lapan kumpulan, menyaksikan Kumpulan Peonny muncul sebagai juara selepas menampilkan aksi bertenaga dan persefahaman yang cukup mengagumkan.
Menariknya, ahli Kumpulan Peonny hanya pertama kali berkenalan pada hari kejohanan, namun berjaya membentuk keserasian luar biasa dalam tempoh singkat. Aksi lincah, gerakan pantas serta persefahaman antara pemain mencuri perhatian sepanjang kejohanan, malah persembahan mereka dilihat seakan-akan pasukan yang sudah lama berlatih bersama.
Di sebalik kemeriahan kejohanan, acara turut mencatat satu lagi perkembangan penting apabila Alternative Netball Club (ANC) dilancarkan secara rasmi sebagai platform baharu bagi memperkasa dan mengembangkan sukan bola jaring dalam kalangan wanita muda di Selayang.


Pelancaran ANC disempurnakan oleh Amalina AF, selaku penasihat kelab, yang dilihat memainkan peranan penting dalam menggerakkan usaha mewujudkan lebih banyak ruang kepada wanita muda untuk aktif dalam bidang sukan, khususnya bola jaring.
Menurut Amalina, sukan bukan sekadar medan untuk mencari kemenangan, sebaliknya menjadi ruang untuk membina keyakinan diri, disiplin, kepimpinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan wanita muda.
“Di luar gelanggang kita belajar menjadi lembut, tetapi di dalam gelanggang kita membuktikan bahawa wanita muda juga punya kekuatan, fokus dan jiwa pemenang.”
Beliau turut menzahirkan harapan agar penubuhan ANC menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program dan aktiviti bola jaring yang dapat menghimpunkan wanita muda di sekitar Selayang, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan berkenaan.
Kejohanan tersebut bukan sahaja berjaya menyemarakkan budaya bersukan, malah memperlihatkan potensi besar wanita muda Selayang untuk diketengahkan dalam bidang sukan dan pembangunan komuniti.
Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Peonny atas kejayaan muncul juara serta syabas kepada seluruh peserta yang telah menjayakan kejohanan Bola Jaring Wanita Muda Selayang.

